Sunday 28 August 2011

Selamat Hari Raya Aidilfitri Dan Salam Merdeka yg ke 54

TAHUN ini agak istimewa, Hari Raya Aidilfitri disambut hampir serentak dengan hari ulang tahun kemerdekaan negara. Pun begitu, suasana sambutan hari lebaran tetap meriah. Bahang hari kemerdekaan pula cukup terasa biarpun pada bulan Ramadan.
Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada semua pengunjung blog SK Padang Setebu. Apalah ertinya sambutan Aidilfitri tanpa saling memohon kemaafan. Kita dituntut menerapkan pengisian hari lebaran iaitu mengukuhkan silaturahim dan persaudaraan sesama Islam. Bukannya soal luaran termasuklah sambutan secara berlebihan sehingga membazir wang dan masa. Bersederhanalah menyambut Aidilfitri

Tuesday 9 August 2011

Selamat Menyambut Bulan Ramadan Al-Mubarak

RAMADAN adalah bulan penuh berkat yang dinanti-nanti oleh setiap umat Islam. Di bulan ini ibadah diberi ganjaran pahala berlipat-kali ganda. Di dalamnya juga ada malam yang diberi keutamaan melebihi 1,000 bulan yang lain. Pada bulan Ramdan juga al-Quran diturunkan.

Berjumpa dengan bulan Ramadan merupakan kenikmatan yang sangat besar. Ia ibarat bazar yang menyediakan jualan dengan tawaran yang sangat menakjubkan.

Ibnu Rajab al-Hanbali berkata: "Barang siapa yang pada bulan Ramadan ini tidak beruntung, maka bila lagi dia akan beruntung? Barang siapa yang pada bulan suci ini tidak dapat mendekatkan dirinya kepada Allah, maka sungguh dia sangat rugi."

Maka tidak hairanlah mengapa orang-orang soleh terdahulu selalu mendambakan supaya dapat bertemu dengan bulan Ramadan. Salah satu teladan daripada ulama Salaf, mereka tekun berdoa dan memohon kepada Allah, agar dapat bertemu bulan Ramadan.

Mu'alla bin Al Fadhl berkata: "Mereka (para salaf terdahulu) berdoa kepada Allah selama enam bulan agar Allah mempertemukan mereka dengan bulan Ramadan".

Ini merupakan salah satu cerminan berserah diri kepada Allah.

Bulan Kesabaran dan Bulan al-Quran

Selain dikenali sebagai bulan puasa, Ramadan juga digelar dengan beberapa nama lain sesuai dengan keutamaannya. Satu daripadanya ialah bulan kesabaran seperti yang dinyatakan dalam kitab Silsilah Hadis Sahih oleh Syaikh Muhammad Nasiruddin al-Albani.

Imam Malik bin Anas, yang selalu dipanggil Imam Darul Hijrah pula berkata bahawa Ramadan ialah bulan al-Quran.

Al-Quran adalah kalam Allah diturunkan dari Luh Mahfudz ke langit dunia pada malam Lailatul Qadar di bulan Ramadan.

Firman Allah: Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. (al-Baqarah: 185)

- UTUSAN